Terengganu (Jawi: ترڠݢانو,sebutan tempatan:Tranung,Kelantan-Pattani:Ganu) atau nama penuhnyaTerengganu Darul Iman (Jawi: ترڠݢانو دار الإيمان) ialah sebuah negeri dan kesultanan diMalaysia. Bandar pesisir pantaiKuala Terengganu, yang terletak di muaraSungai Terengganu, merupakan ibu negeri, bandar diraja juga bandar terbesar di Terengganu. Antara bandar dan pekan utama lain termasuklahJerteh,Kuala Dungun,Chukai,Kuala Berang,Marang danPermaisuri. Dengan keluasan 13,035 kilometer persegi dan populasi lebih 1.2 juta orang pada tahun 2023, Terengganu merupakan negeri ketujuh terbesar dan ke-10 paling berpenduduk di Malaysia. Terengganu, bersama-sama dengan Kelantan,Putrajaya danPerlis, merupakan antara negeri yang paling homogen di Malaysia, di mana hampir 95% penduduknya berbangsa Melayu, dengan dialek, budaya, sejarah dan tradisinya yang tersendiri.
Terletak dipantai timurSemenanjung Malaysia, Terengganu bersempadan dengan negeriKelantan di utara,Pahang di barat dan selatan, sertaLaut China Selatan di timur. Terengganu secara geografinya terbahagi kepada kawasan pedalaman kurang berpenduduk dan bergunung-ganang (dikenali sebagai Tanah Tinggi Terengganu dengan puncak tertingginya ialahGunung Lawit yang berketinggian 1,519 meter) yang merangkumi kawasan dari sempadan Kelantan ke daerah Kemaman, dan sebahagian besar kawasannya yang terdiri daripada daratan pantai rata yang menempatkan majoriti penduduk negeri ini. Terengganu terkenal dengan garis pantainya yang terpanjang di Semenanjung Malaysia dan antara yang terbersih di Malaysia.[4] Banyak pulau terkenal di Malaysia yang terletak di negeri ini sepertiPulau Perhentian,Kapas,Redang, dan jugaPulau Bidong yang pernah menempatkan ribuan pelarian Vietnam sekitar tahun 1970-an.
Terdapat beberapa teori berbeza mengenai asal usul nama Terengganu. Satu teori mengaitkan asal nama Terengganu dengan perkataan "terang ganu" yang bermaksud 'pelangi cerah' dalam Bahasa Melayu.[5] Satu lagi kisah yang dikatakan asalnya diceritakan olehSultan Omar, Sultan Terengganu kesembilan, yang mengisahkan tentang sekumpulan pemburu dariPahang yang mengembara dan memburu di kawasan yang kini merupakan selatan Terengganu. Salah seorang pemburu itu ternampak sebuah taring besar terbaring di atas tanah. Pemburu yang lain bertanyakan kepadanya, apakah haiwan yang memiliki taring seperti itu. Pemburu itu yang tidak mengetahui mana-mana haiwan yang memiliki taring itu, hanya menjawab 'taring anu' yang bermaksud taring sesuatu. Mereka kemudiannya kembali ke Pahang dengan hasil buruan, bulu dan kayu cendana yang banyak, lantas menarik perhatian penduduk lain. Mereka bertanyakan kepada pemburu itu, di manakah tempat mereka mendapatkan hasil yang banyak itu. Pemburu itu kemudiannya menjawab tanah taring anu, yang kemudiannya berubah menjadi Terengganu.[5] Terengganu pernah disebut sebagaiTrangkanu (Thai: ตรังกานู) oleh Siam semasa di bawah pentadbiran mereka. Orang Terengganu pula selalunya menyebut Terengganu sebagaiTranung atauGanu dengan huruf G sering dititikberatkan.[6]
Penempatan manusia mungkin telah wujud di Terengganu seawal 16 ribu tahun yang lalu sewaktu zamanPaleolitik, dibuktikan dengan penemuan rangka manusia diGua Bewah, Hulu Terengganu pada 2009. Rangka yang digelar sebagaiOrang Bewah (Bewah Man) itu telah dianalisis sebagai rangka manusia moden tertua pernah dijumpai di Malaysia, 5,000 tahun lebih tua daripada rangka yang ditemui di Perak.[7]
Kedudukan Terengganu di tepiLaut China Selatan memastikan keberadaannya di laluan perdagangan sejak zaman dahulu. Dalam atlas keduaPtolemy iaituGeografi, Terengganu dirujuk sebagai sama adaPerimula,Kole Polis atauTharra. Laporan bertulis terawal yang menyebut nama Terengganu ialah daripada rekod para pedagang dan pelaut China pada awal abad ke-6. Sewaktu awal zaman Hindu-Buddha, Terengganu dikenali sebagai Tan-Tan yang berpusat di lokasi yang kini disebut sebagaiKuala Telemung. Ia merupakan sebuah kerajaan kuno kecil yang berada di bawah pengaruhLangkasuka, sebuah kerajaan yang berpusat di Kedah atau Patani pada abad pertama. Pada abad ketujuh, dinasti Langkasuka yang pernah memerintah Terengganu digantikan dengan kerajaan baharuSrivijaya. Di bawah pengaruh Srivijaya, Terengganu telah berdagang secara meluas dengan kerajaan lain di Tanah Melayu, Borneo, Sumatera,Campa,Empayar Khmer,Majapahit dan China.
Terengganu merupakan negeri Melayu pertama yang menerima Islam, dibuktikan denganBatu Bersurat Terengganu bertulisan Arab yang ditemui diKuala Berang. Tarikh tertulis yang tidak lengkap akibat kerosakan pada batu itu boleh dibaca sebagai beberapa tarikh dalam jangka masa sekitar tahun 702 hingga 789 H (1303 hingga 1387 M).[8] Terengganu telah menjadi negeri naungan Melaka, namun kuasa autonominya mula berkembang dengan munculnyaKesultanan Johor-Riau. Pada tahun 1710, kerajaanAyutthaya telah menakluk Terengganu. Namun ketika Johor bersedia untuk menangkis serangan ke atas wilayah lindungannya, tentera Ayutthaya melencong untuk melawan serangan Vietnam di Kemboja.[9] Di akhir dinasti Johor-Melaka pada tahun 1699, Terengganu menjadi pembekal utama lada kepada pedagang China dan perahu, walaupun kerajaan ini hanya mempunyai 500 askar dan tiada armada. Selepas dikalahkan dalam perang saudara Johor pada 1718,Sultan Abdul Jalil IV dari Johor telah berpindah ke Terengganu. Baginda menubuhkan sebuah kerajaan saingan dan menganugerahkan gelaran penting kepada pemimpin tempatan, menarik Terengganu ke barisan hadapan politik Melayu.[10]
Peta Mao Kun daripadaWubei Zhi yang berasal daripada peta penunjuk arahZheng He abad ke-15 menampilkan Terengganu (丁架路) di bahagian atas kiri.
Terengganu muncul sebagai sebuah kesultanan bebas pada 1724. Sultan pertama ialahTun Zainal Abidin, adinda kepada bekas sultan Johor, dan Johor berpengaruh kuat dalam politik Terengganu sepanjang abad ke-18. Namun, dalamTuhfat al-Nafis, penulisnya,Raja Ali Haji menyatakan bahawa pada tahun 1725, Tun Zainal Abidin ditabal sebagai sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua, di bawah pemerintahan sultan Johor,Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tradisi lisan pula menyatakan bahawa Tun Zainal Abidin telah ditabal sebagai sultan oleh Ratu Patani.[11]
Pelayar Scotland, Alexander Hamilton terkenal dengan beberapa rekod lawatannya ke Terengganu pada tahun 1719 dan 1720.[12]
Pada tahun 1741, Sultan Sulaiman menabalkan Sultan Mansur sebagai pemerintah Terengganu. Pemerintahan baginda dari 1741 hingga 1793 tampil dengan usaha baginda membentuk pakatan Melayu yang kuat bagi melawan pengaruh Bugis yang semakin meningkat. Baginda meluaskan kuasanya ke atas Kelantan yang sedang berpecah dan melemah pada 1764, dengan kemuncaknya ketika putera baginda dikahwinkan dengan puteri Kelantan. Sumber Eropah pada waktu itu memuji pentadbiran baginda yang terurus, dan baginda juga sangat dihormati oleh rakyatnya.[13]
Pada abad ke-19, di bawah pemerintahanSultan Omar, Terengganu telah menjadi negeri naungan kerajaan Rattanakosin, dan menghantar ufti yang digelar bunga mas setiap tahun. Baginda dikenali sebagai seorang sultan yang taat, yang menggalakkan perdagangan dan kestabilan kerajaan. Terengganu terus makmur, dan sebahagian besarnya ditinggalkan sendirian oleh penguasa di Bangkok, tidak seperti Kelantan dan Patani.[14] Tempoh ini juga menyaksikan kewujudankerajaan Besut Darul Iman, wilayah naungan Terengganu.
TermeterainyaPerjanjian Inggeris-Siam 1909 menyaksikan kekuasaan dan pemerintahan ke atas Terengganu telah beralih dari Siam keBritain. Seorang Penasihat British kepada Sultan telah dilantik pada 1919, dan Terengganu kemudiannya menjadi salah satuNegeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Perjanjian itu kemudiannya telah mencetuskan pelbagai pemberontakan pada 1922 dan 1925 sebelum mencapai kemuncak pada Mei 1928, di mana tercetusnyaPemberontakan Tani yang diketuai olehHaji Abdul Rahman Limbong. Pemberontakan ini kemudiannya berjaya dihalang oleh British.[15]
SewaktuPerang Dunia Kedua,Jepun telah menduduki Terengganu dan menyerahkan kedaulatannya kepada Thailand, bersama-sama dengan Kelantan, Kedah dan Perlis. Setelah kekalahan Jepun, British menubuhkan semula kawalannya di negeri-negeri Melayu termasuklah Terengganu. Terengganu menjadi ahli dalamPersekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan pada 1947. Persekutuan itu kemudiannya berjaya mendapatkan kemerdekaan pada tahun 1957, dengan Terengganu merupakan salah satu negerinya. Pada tahun 1963, Terengganu menjadi salah satu ahli dalam persekutuan baharu, Malaysia yang dibentuk hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
Setelah berdekad di bawah pentadbiranBarisan Nasional,Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mula mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 1999, menjadikan Terengganu negeri kedua di Malaysia diperintah oleh Parti Islam (yang pertama ialah Kelantan). Barisan Nasional kembali mengambil alih kerajaan negeri pada tahun 2004, dan terus memerintah sehingga tahun 2018. Parti Islam Se-Malaysia kemudiannya kembali semula memerintah Terengganu sehingga kini.
Terengganu terletak di timurSemenanjung Malaysia, bersempadan dengan negeriKelantan di utara,Pahang di selatan danLaut China Selatan di timur. Negeri ini mempunyai jumlah keluasan kira-kira 13,035 km2 (5,033 bt2), menjadikannya negeri ketujuh terbesar di Malaysia. Ciri-ciri topografinya berkisarkan dari daratan berparas rendah di timur dan secara beransur-ansur menjadi lebih berbukit dan bergunung-ganang ke arah barat. Sempadan barat negeri ini dipadankan denganBanjaran Pantai Timur yang turut menempatkan titik tertinggi negeri ini, iaituGunung Lawit yang berketinggian 1,519 meter. Banjaran ini menjadi kawasan tadahan air utama bagi sistem perairan negeri, di mana ia juga menempatkanTasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Malaysia dan berfungsi sebagai takungan air utama negeri.Sungai Terengganu merupakan sungai utama di negeri ini, yang berasal dari kawasan pedalaman Hulu Terengganu, membentuk Tasik Kenyir di tengahnya lalu mengalir ke Kuala Terengganu dan bertemu dengan Laut China Selatan. Antara sungai lain yang berperanan penting di negeri ini termasuklahSungai Kemaman dan Sungai Dungun di selatan negeri,Sungai Marang di tengah sertaSungai Setiu danSungai Besut di utara.
Perlembagaan negeri Terengganu mula berkuat kuasa pada 1911 dan digelar sebagai "Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu". Perlembagaan ini digubal sewaktu pemerintahanSultan Zainal Abidin III. Perlembagaan ini mengandungi 53 fasal yang menggariskan pemerintahan, perundangan dan aspek keagamaan Terengganu.
Sultan merupakan pemerintah berpelembagaan dan ketua negeri bagi negeri Terengganu. Perlembagaan negeri ini menyatakan bahawa Sultan ialah pemerintah yang memiliki segala kuasa pemerintahan dan merupakan ketua kepada semua pangkat dalam kerajaan dan wilayah Terengganu, ketua agama Islam dan sumber kepada segala gelaran dan anugerah kehormat dalam negeri ini. Baginda juga memegang kuasa eksekutif negeri ini. Sultan terkini yang memerintah Terengganu ialahSultan Mizan Zainal Abidin yang bertakhta sejak 1998.Istana Syarqiyyah merupakan istana utama Sultan Terengganu yang terletak di Bukit Chendering, Kuala Terengganu. Antara istana lain termasuklahIstana Maziah,Istana Badariah danIstana Nur Nadhirah.
Badan perundangan utama bagi negeri Terengganu ialahDewan Undangan Negeri manakala kuasa eksekutif dipegang olehMajlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Kedua-dua badan tersebut diketuai oleh Sultan sebagai ketua utama. Dewan Undangan Negeri Terengganu merupakan sebuah badan unikameral yang terdiri daripada 32 orang ahli. Setiap ahli dewan ini dipilih dari setiap kawasannya dalam pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun. Dewan ini mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang negeri. Kesemua 32 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu yang terkini dianggotai oleh ahliPerikatan Nasional, menjadikannya satu-satunyanegeri satu parti di Malaysia.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pula dianggotai 11 orang yang terdiri daripada ahli Dewan Undangan Negeri dalam kalangan parti yang memegang majoriti Dewan. Majlis ini diketuai olehMenteri Besar yang juga merupakan ketua kerajaan negeri. Menteri Besar dilantik oleh Sultan dalam kalangan ahli Dewan Undangan Negeri yang mendapat majoriti kepercayaan ahli Dewan. Menteri Besar Terengganu yang terkini ialah Ahmad Samsuri Mokhtar dariParti Islam Se-Malaysia (PAS).
Undang-undang Syariah telah dilaksanakan di negeri Terengganu, di mana orang Islam sahaja tertakluk di bawah undang-undang ini. Pada tahun 2002, kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 yang membenarkan hukuman rotan, potong tangan, rejam dan salib. Namun, enakmen ini tidak dikuatkuasakan kerana had yang ditetapkan dalam Akta 355.[16]
Terengganu dibahagikan kepada lapan daerah, 99 mukim dan tujuh pihak berkuasa tempatan. Setiap daerah ditadbir oleh pihak berkuasa tempatan yang tersendiri, kecuali daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang ditadbir satu pihak berkuasa tempatan yang sama. Pihak berkuasa tempatan di Terengganu terdiri daripada sebuah majlis bandaraya, dua majlis perbandaran dan empat majlis daerah.[17][18]
Menurutbancian penduduk Malaysia pada tahun 2020, negeri Terengganu mempunyai penduduk seramai 1,149,440 orang, dengan kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 1.3 peratus dari tahun 2010.[2] Pada tahun 2023, dengan kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 1.9 peratus, jumlah penduduk Terengganu dianggarkan meningkat kepada 1,209,400 orang.[20] Terengganu mempunyai kadar kepadatan penduduk keempat terendah di Malaysia dan kedua terendah di Semenanjung, dengan hanya 89 orang perkilometer persegi. Pada tahun 2021, Terengganu telah mencatatkan kadar kelahiran kasar paling tinggi di Malaysia, iaitu 22.5 per 1000 penduduk. Kadar kematian kasar negeri ini pula dicatatkan sebanyak 7.2 per 1000 penduduk. Kadar struktur umur penduduk Terengganu yang direkodkan pada tahun 2023 pula menunjukkan bahawa populasi negeri ini majoritinya merupakan golongan muda dan dewasa, di mana kumpulan penduduk berumur 0-14 tahun mencatatkan 28.1% dari jumlah penduduk, penduduk berumur 15-64 tahun mencatatkan 66%, manakala penduduk berumur lebih 64 tahun mencatatkan 5.9%.[20]
Daerah Kuala Terengganu, yang menempatkan ibu negeri Terengganu, merekodkan populasi tertinggi antara daerah dalam negeri ini dengan jumlah penduduk lebih 229 ribu orang. DaerahKemaman merekodkan jumlah penduduk kedua tertinggi iaitu seramai 215 ribu orang. Daerah yang merekodkan jumlah penduduk paling rendah ialahSetiu yang merekodkan jumlah penduduk seramai 59 ribu orang.[21]
Pada tahun 2020, Terengganu mencatatkan peratusan kewarganegaraan kedua tertinggi di Malaysia selepas Kelantan, dengan peratusan 97.7%. Penduduk berbangsaMelayu membentuk kumpulan terbesar dalam keseluruhan populasi negeri Terengganu, mencatatkan 95% daripada jumlah keseluruhan penduduk. Terengganu merupakan antara negeri di Malaysia yang mempunyai peratusan penduduk berbangsa Melayu tertinggi. Mereka terdiri daripada beberapa sub-etnik, majoritinya merupakanOrang Melayu Terengganu yang populasinya tersebar hingga ke Pahang, dan terdapat juga kelompokorang Melayu Kelantan yang menjadi majoriti di daerah Besut dan utara Setiu. Masyarakat Melayu negeri ini tergolong dalam kumpulan Bumiputera, yang turut meliputi masyarakatOrang Asli danBumiputera asal Sabah danSarawak yang mendiami negeri ini. Pada tahun 2024, masyarakat orang Asli di negeri ini direkodkan berjumlah 1,061 orang, dengan sebahagian besar antara mereka merupakan orangSemaq Beri,Jakun danBateq.[22] Masyarakat Bumiputera asal Sabah di negeri ini direkodkan seramai 2,767 orang, manakala asal Sarawak pula seramai 1,210 orang.[21]
Penduduk Terengganu juga terdiri daripada masyarakat bukan Bumiputera yang membentuk kelompok lebih kecil, di mana sebahagian besar antara mereka berbangsaCina danIndia. Penduduk berbangsa Cina di negeri ini direkodkan seramai 23 ribu orang atau 2% daripada jumlah penduduk. Mereka terdiri daripada dua kelompok utama iaituHokkien danTeochew, serta kelompok yang lebih kecil iaituHainan danKantonis.[23] Penduduk berbangsa India membentuk kelompok yang lebih kecil, dengan rekod seramai 2,100 orang atau hanya 0.2% daripada jumlah penduduk. Sebahagian besar antara mereka merupakan orangTamil.[2]
Menurut bancian tahun 2020, sebahagian besar penduduk Terengganu beragamaIslam, yang membentuk 97 peratus dari jumlah populasi. Majoriti penganut agama Islam di negeri ini merupakan masyarakat berbangsa Melayu, di mana menurut Perlembagaan Malaysia, antara ciri utama seseorang Melayu itu ialah perlu menganut agama Islam. Agama Islam juga merupakan agama rasmi negeri Terengganu dengan peganganAhli Sunah Waljamaah dan bermazhabSyafii. Walaupun Islam merupakan agama rasmi, agama lain turut dibenarkan untuk diamalkan oleh penduduk.
Antara agama lain yang diamalkan oleh penduduk Terengganu termasuklah agamaBuddha yang dianuti 2% penduduk, majoritinya merupakan masyarakat berbangsa Cina. Seramai 0.3% penduduk menganut agamaKristian, yang dianuti sebahagian penduduk Bumiputera selain Melayu. AgamaHindu pula dianuti 0.2% penduduk, majoritinya merupakan orang India. Beberapa kelompok yang lebih kecil terdiri daripada penganutKonfusianisme,Taoisme,agama rakyat Cina danSikhisme.[24]
Bahasa rasmi negeri Terengganu ialahBahasa Melayu Malaysia, yang merupakan satu bentuk kepiawaianBahasa Melayu.Tulisan Latin (Rumi) merupakan tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan, namun penggunaantulisan Jawi turut dibenarkan. Terengganu merupakan antara negeri yang menggunakan tulisan Jawi secara meluas, bukan sahaja dalam pengajaran di sekolah, malah turut digunakan dalam urusan dan pejabat kerajaan, papan tanda jalan raya dan di setiap premis perniagaan. Segelintir masyarakat juga berkebolehan atau mempunyai kemahiran asas dalam berbahasa Inggeris, di mana bahasa itu turut diajarkan dalam kurikulum pembelajaran di setiap sekolah.
Rakyat negeri Terengganu secara umumnya bertutur menggunakan dialekBahasa Melayu Terengganu, yang berbeza daripada Bahasa Melayu Piawai. Namun, majoriti penduduk di daerah Besut dan sebahagian Setiu menggunakanBahasa Melayu Kelantan kerana lokasinya yang berdekatan dengan sempadan negeri Kelantan. Penduduk di daerah Hulu Terengganu juga mempunyai dialek yang tersendiri yang sedikit berbeza dengan dialek Melayu Terengganu yang umum. Beberapa bahasa orang Asli dituturkan dalam kalangan masyarakat orang Asli negeri ini, sepertiBahasa Jakun,Bateq danSemaq Beri yang kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman Terengganu.
Penduduk berbangsa Cina di negeri ini pula majoritinya merupakanorang Hoklo, yang bertutur dalamBahasa Hokkien sebagai bahasa utama mereka, di sampingBahasa Mandarin yang digunakan secara meluas dalam kalangan mereka.Bahasa Tamil pula digunakan dalam kalangan penduduk minoriti berketurunan India. Terdapat juga kewujudan sebilangan kecil penuturBahasa Cam dalam kalangan komuniti kecilorang Cam yang tinggal di Dungun.
Seperti negeri-negeri lain di Pantai Timur, kemudahan dan prasarana di Terengganu masih kurang membangun berbanding negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung. Namun, pelbagai inisiatif dan peruntukan telah dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dan negeri bagi menyokong pembangunan infrastruktur di negeri ini. Pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM 1.836 bilion kepada pembangunan negeri Terengganu di bawah Belanjawan 2025, Beberapa badan berkanun di negeri juga dibiayai oleh kerajaan negeri, antaranya termasuklah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Yayasan Terengganu dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu.
Keseluruhan Semenanjung Malaysia termasuklah Terengganu, mempunyai bekalan elektrik dengan kadar hampir 100 peratus. Perkhidmatan bekalan elektrik di negeri ini berada di bawah tanggungjawab syarikat utiliti nasional, iaituTenaga Nasional. Terdapat dua stesen janakuasa utama di Terengganu, iaituEmpangan Kenyir dan Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu, kedua-duanya terletak di Hulu Terengganu.Stesen Janakuasa Sultan Ismail yang pernah menjadi stesen janaelektrik kitar padu terbesar di dunia, telah ditutup pada tahun 2020.[25]
Sehingga tahun 2022, Terengganu mempunyai jaringan jalan raya sepanjang lebih 22 ribu kilometer, terdiri daripada jalan persekutuan sepanjang 1,286 kilometer, jalan negeri sepanjang 20,833 kilometer dan lebuh raya bertol sepanjang 184 kilometer.[26] Antara laluan darat utama di Terengganu ialahLebuhraya Pantai Timur yang menghubungkan negeri ini dengan bandar dan pekan utama di negeri Pahang dan negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung. Satu lagi laluan penting,Laluan Persekutuan 3 yang terbentang di pesisir timur negeri ini menghubungkan bandar dan pekan penting di setiap daerah serta menjadi laluan masuk ke negeri ini dari Pahang dan Kelantan.
Beberapa khidmat pengangkutan awam turut tersedia di Terengganu, iaitu perkhidmatan bas dan jaringan kereta api yang sedang dibina. Terdapat perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini yang dikenali sebagai myBas Terengganu, dikendalikan olehMARA Liner di bawah seliaanAgensi Pengangkutan Awam Darat. Perkhidmatan bas ini terdiri daripada tujuh laluan utama dan satu laluan perantara, menghubungkan beberapa lokasi di sekitar Terengganu.[27] Terminal Bas Kuala Terengganu (MBKT) merupakan hab pengangkutan awam di negeri ini, menyediakan perkhidmatan bas tempatan dan perkhidmatan bas antara negeri. Setiap daerah di negeri ini turut mempunyai stesen bas tersendiri, kebiasaannya terletak di ibu daerah.Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dibina pula akan menjadi satu-satunya laluan kereta api di Terengganu, menghubungkan negeri ini dengan negeri-negeri Pantai Timur danLembah Klang. Laluan kereta api yang dibina untuk membawa penumpang dan kargo ini menyediakan enam stesen penumpang di seluruh negeri ini.
Terdapat tiga lapangan terbang yang terletak di Terengganu, di mana dua daripadanya terbuka kepada orang awam.Lapangan Terbang Sultan Mahmud terletak diGong Badak,Kuala Nerus merupakan lapangan terbang utama negeri dan menjadi pintu masuk utama melalui udara ke negeri ini. Lapangan terbang awam yang lain ialahLapangan Terbang Redang yang terletak diPulau Redang.Lapangan Terbang Kerteh yang terletak di pekanKerteh,Kemaman merupakan lapangan terbang kedua terbesar di Terengganu namun tidak dibuka kepada orang awam. Lapangan terbang ini dimiliki dan dikendalikan olehPetronas, dibina untuk mengangkut para pekerjanya ke platform minyaknya yang terletak 100-200 kilometer di luar pesisirLaut China Selatan.
Terengganu juga dilengkapi dengan tujuh pelabuhan yang dibina di pesisir pantainya, dengan satu daripadanya merupakan antara pelabuhan utama di Malaysia, iaituPelabuhan Kemaman. Pelabuhan ini terletak diChukai dan dibina bagi menguruskan import dan eksport bahan seperti bijih besi, timah dan minyak.Pelabuhan Kerteh pula menjadi hab penting dalam industri minyak dan gas kerana lokasinya yang berdekatan dengan kilang penapisan minyak Petronas di Kerteh. Di Setiu, terdapat sebuah pelabuhan yang mengendalikan produk silika dari kilang pemprosesan silika yang berdekatan.[28] Pelabuhan Kuala Besut di Besut pula menyediakan perkhidmatan bot bagi menghubungkanPulau Perhentian dengan tanah besar Terengganu.
Institusi pendidikan di negeri Terengganu berada di bawah seliaan dua kementerian persekutuan, iaituKementerian Pendidikan danKementerian Pendidikan Tinggi. Walaubagaimanapun, negeri Terengganu mempunyai Jabatan Pendidikan Negeri yang tersendiri sama seperti negeri Malaysia yang lain bagi menguruskan hal ehwal pendidikan di negeri ini. Setiap daerah di negeri ini turut mempunyai Jabatan Pendidikan Daerah yang menyelaraskan hal pendidikan dan persekolahan dalam satu daerah. Sistem pendidikan di Terengganu sama seperti negeri lain di Malaysia, bermula dengan pendidikan tadika seawal empat atau lima tahun, diikuti oleh pendidikan rendah selama enam tahun, dan seterusnya pendidikan menengah selama lima tahun. Pada tahun 2020, terdapat sebanyak 504 buah sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di Terengganu, terdiri daripada 352 sekolah rendah dan 152 sekolah menengah. Sekolah dalam peringkat pendidikan rendah terdiri daripada dua jenis sekolah, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Pendidikan peringkat menengah pula terdiri daripadasekolah menengah kebangsaan,sekolah menengah jenis kebangsaan,sekolah berasrama penuh,sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah teknik danMaktab Rendah Sains MARA. Semasa tahun akhir pendidikan menengah, para pelajar perlu mendudukiSijil Pelajaran Malaysia (SPM). Terdapat juga 14 buah sekolah swasta di Terengganu, empat daripadanya merupakan sekolah rendah dan 10 sekolah menengah. Pendidikan agama turut disediakan kepada penduduk beragama Islam di negeri ini, di mana terdapat sekolah yang berada di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Negeri. Sekolah agama ini terdiri daripada sekolah rendah agama, sekolah agama rakyat atau Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang kebiasaannya beroperasi selepas waktu persekolahan sekolah kebangsaan, dan juga sekolah menengah agama di peringkat menengah.
Sektor kesihatan negeri Terengganu berada di bawah tanggungjawab Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. Sistem penjagaan kesihatan negeri ini disediakan oleh 10 hospital di negeri ini, terdiri daripada enam hospital kerajaan dan empat hospital swasta. Hampir semua daerah di negeri Terengganu mempunyai sebuah hospital kerajaannya yang tersendiri, kecuali daerah Marang dan Kuala Nerus. Antara enam hospital kerajaan tersebut, dua daripadanya merupakan hospital pakar, iaituHospital Sultanah Nur Zahirah danHospital Kemaman, manakala yang lain merupakan hospital daerah biasa iaituHospital Besut,Hospital Setiu,Hospital Hulu Terengganu danHospital Dungun. Selain daripada hospital, sistem kesihatan negeri Terengganu juga dilengkapi dengan 52 klinik kesihatan, 124 klinik desa dan 14 klinik komuniti yang terdapat di setiap daerah.[21]
Pada tahun 2023, kadar keluaran negara kasar (KDNK) bagi negeri Terengganu direkodkan mencecah RM38.2 bilion, rekod keempat terendah antara negeri-negeri di Malaysia. Kadar pertumbuhan ekonomi juga dicatatkan sebanyak 2.3%, yang menunjukkan penurunan berbanding kadar pertumbuhan 6% yang direkodkan pada tahun 2022. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri ini, yang merangkumi 52% daripada jumlah keseluruhan nilai KDNK negeri. Sektor pembuatan pula merupakan penyumbang kedua terbesar dengan sumbangan 36.9% kepada nilai KDNK negeri, diikuti dengan sektor pertanian, pembinaan dan perlombongan.[30]
Pada tahun 2023, sektor perkhidmatan di negeri Terengganu merekodkan penambahan nilai sebanyak RM19.9 bilion berbanding RM19.3 bilion pada tahun 2022, dengan peningkatan sebanyak RM0.6 bilion. Perkembangan sektor ini sebahagian besarnya didorong oleh industri pelancongan negeri, di mana jumlah pelawat domestik yang berkunjung ke Terengganu telah meningkat kepada 11.8 juta orang pada tahun 2023. Industri utama lain negeri ini termasuklah industri penerokaan minyak dan gas yang dilaksanakan di kawasan perairannya. Terdapat beberapa komplekspetrokimia besar berdekatan denganPaka danKerteh, yang melibatkan pelbagai usaha sama antara syarikat minyak nasional Malaysia,Petronas dengan syarikat multinasional negara asing.
Kegiatan pertanian turut menjadi antara industri penting dalam perkembangan ekonomi Terengganu. Sebahagian penduduk mengusahakan tanaman buah-buahan seperti pisang, durian, tembikai, rambutan dan beberapa sayuran yang lain. Seperti negeri lain, terdapat juga perusahaan tanaman kelapa sawit yang sebahagian besarnya diusahakan di bawah projekFELDA. Sebilangan penduduk turut bekerja sebagai nelayan dan bergantung kepada kegiatan perikanan, terutamanya penduduk di kawasan pesisir laut dan lembah sungai di sekitar negeri.
Persembahan tarianUlek Mayang.Keropok lekor, merupakan salah satu makanan terkenal di Terengganu.
Kebudayaan dan kesenian negeri Terengganu sebahagian besarnya didominasi oleh pengaruh kebudayaan masyarakat Melayu, disebabkan oleh majoriti masyarakatnya yang berbangsa Melayu dan kurangnya penduduk berbangsa lain seperti Cina dan India. Terengganu, bersama-sama dengan Kelantan digelar sebagai tempat lahirnya tamadun Melayu di Semenanjung Malaysia. Kegiatan tradisional seperti pertandingan layang-layang, pertandingan gasing serta seni dan kraf tradisional seperti songket masih hidup dan diusahakan penduduk negeri ini. Terdapat beberapa jenis teater tradisional Melayu yang terkenal di negeri ini, antaranya termasuklahRodat,Teater Nur Sakti danTarian Pulai. TarianUlek Mayang dahulunya sering diadakan di tepi pantai sewaktu pesta pantai yang kebiasaannya diadakan pada hujung tahun, bertujuan untuk mengubati penyakit, namun tarian ini sekarang hanya sekadar persembahan budaya semata-mata. Terengganu juga merupakan antara negeri yang menggunakangamelan sebagai sebahagian daripada teater tradisionalnya, di mana asalnya dibawa dari Pahang dan dimainkan hanya ketika istiadat diraja. Gamelan Terengganu juga mempunyai ciri dan identiti yang berbeza dengan gamelan Sunda dan Jawa.
Terengganu juga kaya dengan makanan tradisional yang berlainan dengan makanan tradisional Melayu di negeri lain. Antara makanan tradisional masyarakat Melayu Terengganu yang terkenal termasuklahkeropok lekor, yang diperbuat daripada gabungan doh (tepung sagu) dan ikan yang ditumbuk, kebiasaannya tenggiri dan sardin. Terengganu juga terkenal dengannasi dagang, yang merupakan satu hidangan terdiri daripada nasi yang dikukus di dalam santan, kari ikan dan bahan tambahan seperti jeruk timun dan lobak.Budu, iaitu sambal ikan bilis yang masin dan pedas juga merupakan salah satu makanan yang terkenal dalam kalangan penduduk. Budu diperbuat daripada ikan bilis yang diperam dengan garam, dan kebiasaannya dihidangkan bersama dengan hirisan bawang dan cili.Laksam merupakan variasi laksa paling terkenal dalam kalangan penduduk Terengganu, diperbuat daripada tepung beras yang dihiris tebal dan lembut. Laksam dihidangkan dalam mangkuk santan segar yang dicampur dengan daging ikan rebus (kebiasaannya ikan kembung), timun, cili, bawang dan kacang panjang yang dihiris halus. Antara variasi laksa lain yang terkenal di negeri ini termasuklah kerabu laksa dan laksa kuah merah.
Penduduk negeri Terengganu menikmati cuti dan merayakan beberapa perayaan berbilang kaum, terdiri daripada hari kelepasan am yang diwartakan di peringkat persekutuan dan hari kelepasan negeri yang diwartakan di peringkat negeri. Hari kelepasan am bagi negeri ini terdiri daripada tiga perayaan terbesar di Malaysia, iaituHari Raya Aidilfitri danHari Raya Aidiladha,Tahun Baru Cina,Deepavali danKrismas. Antara hari kelepasan am lain termasuklahHari Kebangsaan Malaysia yang disambut pada 31 Ogos, danHari Malaysia yang disambut pada 16 September, kedua-duanya disambut bagi memperingati kemerdekaanTanah Melayu dan pembentukan persekutuan Malaysia. Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang disambut pada minggu kedua bulan Jun dan Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei juga merupakan cuti umum bagi seluruh negara.
Hari kelepasan khas bagi negeri Terengganu pula terdiri daripada hari keputeraan dan pertabalan Sultan, serta perayaan beberapa kaum dan etnik. Hari Ulang Tahun Pertabalan Sultan Terengganu disambut sebagai cuti umum pada 4 Mac setiap tahun bagi memperingati pertabalanSultan Mizan Zainal Abidin. Hari keputeraan baginda Sultan juga disambut pada 27 April setiap tahun. Kebanyakan hari kelepasan negeri Terengganu bersempena dengan perayaan umat Islam, sejajar dengan majoriti penduduknya yang beragama Islam. Antara hari perayaan Islam sampingan yang disambut sebagai cuti umum di Terengganu termasuklahHari Israk Mikraj,Hari Nuzul Quran,Hari Arafah,Awal Muharam danMaulidur Rasul. Namun begitu, terdapat juga perayaan kaum lain yang disambut sebagai cuti sampingan di negeri ini, iaituHari Wesak yang dirayakan oleh penganut Buddhisme.
Masjid Kristal - Masjid ini dibina daripadakaca dankeluli, masjid pintar pertama diMalaysia dan mempunyai keluasan 2,146meter persegi. Masjid ini boleh memuatkan 700 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan prasarana teknologi maklumat dan liputan WiFi yang membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan aksesinternet bagi membacaAl-Quran elektronik.[31]
Pantai Batu Buruk - Kawasan pantai seluas 100 meter dan sejauh 50 meter dari darat yang ditandakan dibuka untuk aktiviti riadah pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dari pukul 4 petang hingga 7 malam.[32]
Bukit Puteri - Destinasi bersejarah terkenal di negeri ini dan menjadi tumpuan pelancong apabila mereka singgah di Pasar Besar Kedai Payang.[33]
^Andaya, Barbara Watson (1982).A history of Malaysia. Martin's Press. m/s. 121.
^Timah Hamzah (1981).Pemberontakan Tani 1928 di Trengganu: satu kajian ketokohan dan kepimpinan Haji Abdul Rahman Limbong. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia. m/s. 80.