| Talentime | |
|---|---|
Poter Filem Talentime | |
| Pengarah | Yasmin Ahmad |
| Penulis | Yasmin Ahmad |
| Dihasilkan oleh | Ahmad Puad Onah |
| Dibintangi | Mahesh Jugal Kishor Pamela Chong Syafie Naswip Howard Hon Ka Hoe Jaclyn Victor |
| Sinematografi | Low Soon Keong |
Syarikat penerbitan | Grand Brilliance Chilli Pepper Films |
| Diedarkan oleh | Primeworks Studios |
Tarikh tayangan | 26 Mac 2009(Malaysia) |
Masa tayangan | 110 minit |
| Negara | |
| Bahasa | Melayu Inggeris Kantonis Mandarin Hokkien Tamil Hindi Isyarat |
| Bajet | RM 1.30 juta |
| Pecah panggung | RM 0.42 juta |
Talentime ialah sebuah filem drama Malaysia 2009 arahanYasmin Ahmad, dan merupakan yang terakhir dalam hayatnya, yang ditayangkan di pawagam Malaysia selama sebulan mulai 26 Mac 2009, dan ulang tayangnya disiarkan pada 13 hingga 19 Ogos sempena memperingati pemergian Yasmin pada 25 Julai.
Seperti filem-filem arahan Yasmin yang lain, filemTalentime memaparkan kisah hubungan cinta tanpa mengira kaum, agama atau latar kebudayaan seumpamanya, di samping juga diselitkan tema pertandingan bakat di sekolah menengah. Filem ini dibintangi barisan pelbagai kaum iaitu Mahesh Jugal Kishor, Pamela Chong,Syafie Naswip danHoward Hon Ka Hoe, di samping menyaksikan kemunculan sulung penyanyiJaclyn Victor memegang watak penting di layar perak.
Sebuah pertandingan pencarian bakat mempertemukan dua hati - Melur (Pamela Chong), seorang gadisMelayu kacukan dengan seorang pelajar lelakiberbangsa India bernama Mahesh (Mahesh Jugal Kishor). Melur, dengan suaranya yang merdu, bernyanyi sambil bermain piano adalah salah seorang daripada tujuh finalis pertandingan Talentime sekolahnya, di bawah kelolaan Cikgu Adibah (Adibah Noor).
Begitu juga Hafiz (Mohammad Syafie Naswip), memikat dengan bakat nyanyian sambil bermaingitar, yang membahagikan masa antara persekolahan dan bersama ibu (Azean Irdawaty) yang dirawat di hospital kerana menghidapbarah otak. Ia bermula selepas Mahesh, antara pelajar yang ditugaskan menjemput finalis ke sekolah bagi menjalani latihan, menghantar surat pemberitahuan lulus ujibakat ke rumah Melur. Rupanya yang kacak memikat hati gadis itu. Di awal perkenalan, malapetaka menimpa keluarga Mahesh apabila bapa saudaranya, Ganesh yang menjaga keluarga itu sejak ketiadaan ayah, mati ditikam di hari perkahwinannya.
Melur, menyangka sikap membisu Mahesh kerana sedih dengan tragedi itu, berang apabila terus tidak dipedulikan. Dia bagaimanapun kesal selepas diberitahu oleh Hafiz mengenai keadaan sebenar Mahesh. Itulah yang mengubah persepsi Melur terhadap Mahesh. Begitu juga Mahesh yang menyenangi kehadiran gadis itu yang sering mengungkapkan puisi indah. Mahesh, menyedari perhubungan itu akan ditentang, menyembunyikannya daripada pengetahuan ibunya yang masih berduka di atas kematian Ganesh. Namun, rahsia itu terbongkar dan Mahesh dipukul di depan Melur sendiri. Cuma sehari sebelum berlangsungnya pertandingan, apakah Melur cukup gagah untuk menyanyikan bait puitis lagunya ketika hatinya sedang sengsara mengingatkan Mahesh? Bagaimana dengan Mahesh yang bertemu cinta pertamanya? Di malam Talentime, segalanya terungkai.



FilemTalentime diusahakan oleh Chilli Pepper Films bersama Primeworks Studios, sebenarnya merupakan filem cetera kelima arahan Yasmin Ahmad selepas filemSepet,Gubra,Mukhsin, danMuallaf (yang dilaporkan tidak mungkin dipasarkan di Malaysia kerana Yasmin tidak setuju beberapa babak dipotong yang dikhuatiri menjejaskan jalan cerita).
Apabila ditanya tentang pandangan peribadinya terhadap filem ini, Yasmin berkata, "Memang saya begitu bertuah dan saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang cukup hebat untuk menghidupkan Talentime. Sudah lama saya mahu bekerja dengan Azean, Jit dan Sukania yang memang saya hormati dan kagumi dengan bakat mereka. Begitu juga dengan pelakon baru yang mempunyai karisma dan bakat yang cukup hebat membuatkan saya tabik dan percaya mereka adalah bakat pelapis di negara ini. Apabila mereka bersetuju untuk berlakon dalam filem Talentime, ia adalah satu penghormatan tertinggi buat diri saya. Maka dengan itu, tiada apa lagi yang mampu saya lafazkan."[1]
Beralih kepada barisan pelakon, Mahesh Jugal Kishor yang memegang watak Mahesh mengakui sukar membawa watak tersebut kerana menghadapi dugaan menguasaibahasa isyarat. Ulasnya, "Saya bergaul bersama orang cacat pendengaran untuk memahami dunia mereka. Daripada berhubung bersama mereka, saya terpesona kerana mereka lebih banyak mempunyai perasaan dan ekspresi. Segala ekspresi mereka adalah pada wajah mereka."[2]
Mohd Syafie Naswip yang memegang watak Hafiz, ketika ditanya mengenai hubungan kerjanya bersama Azean Irdawaty, berkata: "Pada hari pertama penggambaran, saya masih tidak yakin boleh menjayakan babak-babak bersama Kak Yan. Sukar untuk menangani kenyataan bahawa saya berkongsi babak bersama Azean Irdawaty, apalagi babak yang sukar dilakukan. Beliau mengajar saya agar mengambil langkah demi selangkah, lama-kelamaan berjaya jua."[3]
Memandangkan filemTalentime merupakan karya bercorak muzikal yang lagu-lagunya sudah disediakan oleh artis nyanyian, maka pelakon yang memainkan watak bernyanyi perlu menyegerakkan bibir mereka mengikut lagu-lagu berkenaan dari menyanyikannya sendiri. Yasmin dilaporkan kagum dengan kebolehan Syafie "menyanyikan" laguI Go (vokalAizat Amdan) dalam babak kemuncak pertandingan Talentime, menyatakan "para hadirin menitiskan air mata menonton persembahannya."[3]
FilemTalentime meraih pujian dari para pengulas filem dalam media yang berkesempatan menontonnya. Ulasan dalamUtusan Malaysia dipetik, "Seperti filem-filemnya terdahulu, dalam filem Talentime, Yasmin terus memperlihatkan keyakinan terhadap satu bentuk keluarga dan hubungan masyarakat Malaysia. Dan secara halus pula dia mengkritik realiti dan permasalahan dalam hubungan tersebut."[4]
Nur Safina Othman untuk laman web Tupai.com.my berkata "Bagi pelakon baru Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor dan Jaclyn Victor, lakonan mereka nyata skali tidak mengecewakan walaupun Pamela kelihatan agak berusia dan tidak sesuai digandingkan bersama Mahesh. Percakapannya juga dilihat sedikit kaku dalam filem ini. … Saya merasakan jalan cerita kesemua filem Yasmin Ahmad mudah difahami oleh penonton kerana apa yang dipaparkan olehnya adalah realiti dan berkait rapat dengan kehidupan seharian kita. Walaupun Talentime dilihat sedikit berbeza daripada hasil karya Yasmin Ahmad yang lain, namun pendekatannya masih sama. Filem ini sangat beremosi dan sudah pasti mampu menyentuh jiwa sesiapa sahaja yang menontonnya."[5]
Walaupun begitu, sambutan orang ramai terhadap filemTalentime sewaktu ditayangkan sekitar bulan Mac dan April nampaknya kurang memberangsangkan[6], iaitu sekadar mengutip RM 420,000 dari 38 buah pawagam yang menayangkannya.[7] Ketika ditemubual mengenai kekecewaan ini, Ahmad Puad Onah selaku Pengurus Besar Filem dan Drama Primeworks Studios, berkata "Kami mengakui kutipan tiket untuk filem ini kurang memberangsangkan. Ia mungkin disebabkan beberapa faktor seperti filem ini bercorak urban yang kurang diminati kebanyakan penonton kaki wayang yang terdiri daripada orang Melayu. Ia membariskan pelakon kurang terkenal yang menjayakan filem itu seperti kita sedia maklum, mentaliti penonton kita mahu menonton aksi pelakon terkenal. Ini adalah risiko perniagaan biarpun membawa isu yang cukup dekat untuk masyarakat hari ini."[8]
Sempena penayangan filem ini, keluarnya sebuah albumrunut bunyi edaranUniversal Music, yang memuatkan 12 runut bunyi yang memainkan lagu-lagu dan skor muzik yang diperdengarkan dalam filem tersebut.