![]() | Rencana inimemerlukanpetikan danrujukan tambahan untukpengesahan. Sila bantumemperbaiki rencana ini dengan menambahkan petikan kesumber-sumber yang boleh dipercayai. Bahan yang tidak disahkan mungkin akan dipertikai dandipadam. Cari sumber: "Peristiwa Memali 1985" – berita ·akhbar ·buku ·sarjana ·JSTOR(April 2016) (Ketahui cara dan masa untuk membuang pesanan templat ini) |
Peristiwa Memali | |||
---|---|---|---|
Sebahagian daripadaSejarah Malaysia | |||
Tarikh | 19 November 1985; 39 tahun yang lalu (1985-11-19) | ||
Lokasi | |||
Matlamat | Cubaan menangkap UstazIbrahim Mahmud yang didakwa membawa ajaran sesat melalui kefahaman sifat 20 Asyairah maturidah | ||
Kesan | KemenanganKerajaan Malaysia
| ||
Pihak terlibat | |||
Tokoh dan pemimpin utama | |||
| |||
Bilangan | |||
| |||
Korban | |||
|
Peristiwa Memali yang juga digelar pihak polis sebagaiOperasi Angkara atauOperasi Hapus merupakan insiden yang berlaku pada19 November1985 di Kampung Memali,Baling,Kedah. Dalam operasi tersebut, di bawah arahan TunMusa Hitam selakuTimbalan Perdana Menteri ketika itu, lebih 200 anggotapolis telah mengepung Kampung Memali di Baling, Kedah dan sasaran utama pada masa itu ialah UstazIbrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagaiIbrahim Libya.
Insiden ini merekodkan bahawa 18 orang telah terkorban iaitu 14 orang kampung dan 4 orang anggota polis dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain serta 159 orang ditahan. Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang yang ditahan di bawahAkta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, UstazIbrahim Mahmud telah terbunuh.
Ketika peristiwa tersebut berlaku, TunMusa Hitam merupakanTimbalan Perdana Menteri danMenteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika itu juga,Mahathir Mohamad selakuPerdana Menteri dilaporkan berada diChina.
Peristiwa tersebut berlaku diKampung Memali yang terletak dimukim Siong,Baling,Kedah berhampiran dengan sempadan Kedah-Thailand. Penduduknya keturunanMelayu. Sebahagian mempunyai kaitan denganSiam/Patani. Kegiatan ekonomi mereka ialah menorehgetah dan bersawahpadi.
Baling merupakan sebuah daerah yang dikaitkan denganpertemuan antaraTunku Abdul Rahman denganChin Peng daripadaParti Komunis Malaya pada tahun 1955. Baling dikejutkan lagi pada tahun 1974 berikutan insiden kebuluran pada eraAnwar Ibrahim menjadi pemimpin pelajar. Seterusnya Baling dikejutkan dengan Peristiwa Memali.
TunMusa Hitam menjelaskan bahawaOperasi Angkara bertujuan menangkap dan menghapuskan penjenayah.Ibrahim Libya memang dikehendaki pihak polis di bawah ISA. Ibrahim Libya dituduh mengancam keselamatan negara dengan kegiatan memecah-belahkan masyarakat Islam. Selain itu, dalam sidang akhbar New Straits Times bertarikh 21 November 1985, Musa Hitam turut menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah yang mengatakan Ustaz Ibrahim hanyalah memberikan ceramah agama.
Ibrahim Libya juga dituduh melindungi penjenayah yang sangat dikehendaki olehpolis iaituYusof Che Mit danRamli Che Mit. Sebelum polis menyerang, penduduk kampung yang berkumpul di rumah Ibrahim Libya diminta menyerahkan Yusuf dan Ramli, tetapi mereka berdua tidak ada di situ. Beberapa hari kemudian Ramli ditangkap, tetapi tidak pula dibicarakan di mahkamah kerana dia ditahan di bawahISA.
Ibrahim Libya lahir dan tinggal di Kampung Memali, mukim Siong, Baling, Kedah. Beliau mempunyai lulusanUniversiti Al Azhar,Mesir. Kemudian beliau menyambung pengajiannya di India dan Libya. Beliau juga bekerja sebagai pegawai pendakwah di Bahagian Agama diJabatan Perdana Menteri Malaysia.
Beliau kerap berceramah di RTM1 Malaysia. Kemudian memulakan kelas agama dan sekolah agama di kampungnya di Kampung Memali. Beliau ingin meneruskan usaha tuan-tuan guru pada masa yang dahulu yang membuka sekolah pondok atau sekolah agama. Perjuangannya sealiran dengan PAS dan beliau menyertai PAS kemudiannya.
Pada tahun 1978, atas tiket PAS bertanding di kawasan Bayu-Baling. Beliau memperoleh 5,081 undi berbanding 6,169 undi yang dimenangi Barisan Nasional.
Terdapat banyakajaran sesat di Malaysia sehingga berlaku serangan terhadap Balai Polis Batu Pahat danserangan terhadapkuil Hindu di Kerling pada tahun 1979. Kementerian Dalam Negeri Malaysia menerusi polis dan pegawai agama di Jabatan Agama Islam tidak mahu insiden ini berpanjangan dan menyatakan bahawa ajaran sesat perlu ditumpaskan terlebih dahulu sebelum menjadi tragedi. Peristiwa Memali adalah insiden yang dianggap oleh parti pemerintah sebagai satu kaedah untuk menghapuskan ajaran sesat.
Di Kem Pasukan Polis Hutan Sungai Petani, Kedah; 3,600 anggota polis daripada pelbagai bahagian termasukFRU (Kedah),Pasukan Senoi Praaq, anggota polis beruniform, Unit Tindakan Khas (UTK Berpakaian Komando 69) dari Bukit Aman menerima taklimat dari pegawai Bukit Aman.
Taklimat yang diberi adalah berkaitan dengan operasi menggempur pengganaskomunis. Ramai dikalangan anggota polis yang tidak menyangka Ibrahim Libya yang akan menjadi sasaran mereka, bukannya komunis sepertimana yang disampaikan oleh pihak pegawai atasan.
Malam tersebut Ibrahim Mahmud memberi kuliah sehingga jam 11.45 malam. Seramai 50 orang penduduk hadir. Dikatakan jarang sekali kuliah atau ceramah biasa dijalankan sehingga 11.45 malam kecuali ceramah politik, itupun terdapat sekatan dan larangan dan memerlukan permit daripada Balai Polis Daerah.
Sekatan jalan raya dan meminta Ibrahim Libya menyerah diri merupakan tindakan terbaik. Alternatif lain turut difikirkan. 10 orang polis dikatakan telah menyusup masuk ke Kampung Memali dan memberi laporan.
Jika tindakan mengepung dilakukan, mungkin memakan masa 3 bulan. Dua buah kereta perisai digunakan bagi mengelakkan kemalangan dalam kalangan FRU dan polis. Tambahan pula Baling merupakan kawasan berhampiran sempadan di mana komunis dipercayai masih berkubu. Komunis sentiasa mencari titik lemah anggota tentera yang meronda sempadan Malaysia-Thailand.
Ibrahim Libya dan 39 pengikutnya yang tidur di madrasah tersebut telah dimaklumkan oleh seseorang akan bilangan polis yang ramai di Balai Polis Sungai Petani. Pelbagai senjata ala kampung disediakan seperti kapak, pisau dan buluh runcing. Mereka yang mahir memasang koktelmolotov yang diperbuat daripada minyak tanah dan petrol. Seluruh pengikut Ibrahim Libya menunaikan solat hajat, membaca surah Yassin dan berzikir sebagaimana pahlawan Islam dahulu.
Sepasukan polis yang terdiri daripada Pasukan Polis Hutan, Senoi Praaq, Polis Anti-PengganasUnit Tindakan Khas (UTK berpakaian Komando 69),Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta Tugas Am bertindak melakukan serbuan di madrasah tersebut. Dalam serbuan tersebut, seorang pegawai kananPasukan Polis Hutan, seorang anggota pangkat rendah dan dua orang konstabel tertembak. Keempat-empat mereka telah terkorban akibat serangan tersebut. Mengikut sumber dalaman pula, mereka yang terkorban terkena peluru sesat dari pasukan tersebut itu sendiri semasa serbuan dibuat.[1][2] Tiada pula penduduk yang pernah dibicara kerana memiliki senjata api selepas kejadian tersebut.
Duahelikopter polis digunakan bagi membawa pegawai polis yang terkorban. Mangsa yang cedera dan mati dihantar ke Hospital Sungai Petani dan Hospital Alor Star. Dianggarkan seramai 14 penduduk Memali terbunuh dalam serbuan tersebut termasuk Ibrahim Libya. Menurut sumber, beliau ditembak berpuluh kali di dadanya oleh anggota Unit Tindakan Khas (UTK).[perlu rujukan], dan sempat mengucapkan kalimah syahadah dipangkuan seorang pegawai kanan polis yang memangkunya sebelum beliau meninggal dunia.[3] Jenazah Ibrahim serta pengikutnya dikebumikan dalam kubur panjang tanpa dimandikan kerana dipercayai tergolong sebagai para syuhada.[4] Sultan Kedah sendiri turun mencemar duli untuk mengunjungi makam tersebut.
Kawasan Memali pada keseluruhan hari itu adalah mendung dan gelap menurut penduduk di situ. Tiada sebarang aktiviti harian dijalankan dan banyak kedai ditutup berikutan insiden ini.
Status mereka sebagai syahid disahkan oleh ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abd Razak berdasarkan mereka yang mempertahankan diri dan harta mereka adalah syahid. Bagaimanapun mereka yang mengeluarkan fatwa berkenaan disingkirkan daripada menganggotai badan fatwa berkenaan.[5]
Kerajaan Malaysia telah menerbitkan sebuah laporan kertas putih pada 25 Februari 1986 dan memaparkan rakaman video rasmi kejadian tersebut di televisyen nasional.[7] Kertas Putih mengenai insiden itu menyatakan bahawa ekstremis-ekstremis tersebut cuba menyebarkan ajaran sesat dan mengganggu ketenteraman awam. Kertas putih yang dilampirkan tersebut menjelaskan kejadian sebenar dengan sangat terperinci termasuk latar belakang punca kejadian, kronologi dan gambar-gambar senjata dan lain-lain yang dijadikan bukti.
Kertas putih ini turut menyentuh berkenaanAmanat Haji Hadi yang dikatakan berkait rapat dengan faktor terjadinya insiden Memali tersebut.[8] Daripada buktikertas putih yang mengemukakan peristiwa Memali ini, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi. Versi pertamanya dicetak dalam tulisanjawi, yang dicetak oleh bahagian PeneranganPAS Kelantan untuk sebaran pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983. Seterusnya, terdapat versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak olehPAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh SekretariatPemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa ini.[9]
Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan rakaman video yang diambil dari pita polis operasi tersebut dan menyiarkannya ketika waktu perdana televisyen pada siaranRTM1, stesen televisyen utama kerajaan.[10][11][12] Video ini memaparkan segmen penduduk kampung yang bersenjataparang,lastik dan koktelmolotov(bom petrol) memprotes dan menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap anggota polis yang mengepung penempatan tempat tinggal mereka selama beberapa bulan. Video itu turut menunjukkan seorang polis berpangkat sarjan yang cedera parah merungut kesakitan ketika menunggu bantuan. PihakFRU pula menggunakan dua buahkereta perisai bagi memecahkan pintu papan di rumah Ibrahim Libya. Kelihatan juga beberapa orang perempuan tua yang bagaikan histeria mahu mempertahankan Ibrahim Libya. Kanak-kanak dan wanita turut dijadikan benteng hadapan menghalang pihak polis yang bertindak.
Walau bagaimanapun, tayangan video berkenaan dikatakan telah disunting oleh pihak berkuasa untuk menampakkan kumpulan yang diserang sebagai pengganas.
Video berkenaan turut menayangkan pengakuan daripada bapa Ustaz Ibrahim Libya, Haji Mahmud Senapi, adiknya, Ismail Mahmud dan orang kanannya, Yusuf Husein. Ketiga-tiga mereka ketika itu masih berada di dalam tahanan di bawahAkta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka membuat pengakuan salah serta mendedahkan beberapa perancangan kumpulan mereka. Mereka turut menyatakan kesal di atas penglibatan mereka di dalam kumpulan Ustaz Ibrahim Libya dan menyeru rakyat Malaysia supaya memaafkan mereka.
Walau bagaimanapun selepas dibebaskan, ketiga-tiga mereka telah menyampaikan ceramah ke seluruh Malaysia di atas pentasPAS, mendedahkan bahawa mereka sebenarnya telah dipaksa membuat pengakuan berkenaan.
Pada 27 Mac 2014 di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan, Tun Musa Hitam mendedahkan bahawa Tun DrMahathir bin Mohamad ada di Kuala Lumpur sewaktu tragedi Memali berlaku dan bukannya di China.[13][14] Dr Mahathir bagaimanapun menyatakan beliau sudah tidak ingat di mana beliau berada ketika itu dan perlu memeriksanya kembali.[15] Akhirnya pada 10 April Dr Mahathir mengakui beliau hanya pergi ke China pada 20 November, sehari selepas peristiwa ini terjadi.[16][17]
Pada 13 Ogos 2017, sekitar 5.30 petang, kekecohan telah tercetus pada forum Nothing to Hide 2.0 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor,Shah Alam semasa TunDr Mahathir Mohamad menjawab soalan berkenaan dengan tragedi Memali. Sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau secara tiba-tiba menimbulkan kekecohan dengan membaling barang ke arah pentas khas yang disediakan, di mana Dr Mahathir berada ketika itu. Dua bom asap turut dilemparkan ke atas peserta, sekali gus mencetuskan panik di kalangan pemimpin dan peserta yang mengikuti forum itu. Berlaku pergelutan dalam kalangan penyokong Dr Mahathir dan peserta yang tidak berpuas hati.
Dr Mahathir, yang juga pengerusiPPBM danPakatan Harapan kemudiannya diselamatkan oleh penganjur program. Kesemua pemimpin Pakatan Harapan yang hadir turut diiring keluar dengan ketat oleh pihak keselamatan forum. Program tersebut yang pada awalnya dijadual berakhir pada jam 6 petang terpaksa dihentikan awal.[18]Parti Islam Se-Malaysia dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) juga mendesak satu siasatan rapi dilakukan terhadap kekecohan yang berlaku semasa forum tersebut. Pihak polis akhirnya menjalankan siasatan rapi mengenai punca kekecohan di forum tersebut.[19] Timbalan Presiden PAS,Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS melahirkan kekesalan dan kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku di negara demokrasi seperti Malaysia yang seharusnya membina budaya politik lebih matang.[20][21]
Berikutan kekecohan ini, beberapa pihak kembali membangkitkan isu ini dan telah mengesa kerajaan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dapat ditubuhkan bagi menyiasat tragedi Memali tersebut.[22][23][24]