Movatterモバイル変換


[0]ホーム

URL:


Pergi ke kandungan
WikipediaEnsiklopedia Bebas
Cari

LocationFree

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sony LocationFree
Stesen utama model LF-PK1.
Jenis produkMedia penstriman,Unit rangkaian[1]
PemilikSony
Diperkenalkan2004
Ditamatkan2023[2]
SloganWherever you go, your home entertainment will follow

Sony LocationFree ialah sebuah jenama bagi kumpulan produk dan teknologi berkaitan denganpenstriman media yang dipasarkan sekitar tahun 2004 hingga 2007. Ianya menggunakan sambunganInternet bagi penstriman saluran television (termasuklah saluran digital dan satelit) atau kandungan media melaluiDVD atauDVR yang dimainkan melaluirangkaian di rumah[3]. Selain itu, LocationFree ini juga boleh dipasang melalui konsolPlayStation Portable bagi membolehkan kandungan media yang distrim diperlihatkan[1].

Terdapat dua komponen utama dalam rangkaian LocationFree ini; stesen utama LocationFree ialah unit asas yang menyambungkan kesemua peranti media di dalam rumah yang ingin distrim seperti pemain cakera DVD ataukotak atas set dan unit ini akan disambung ke Internet bagi penstriman dari jauh. Komponen kedua ialah klien atau penerima iaitu mana-mana peranti sesuai yang boleh memaparkan kandungan media yang distrim melalui stesen utama LocationFree sepertipenerima media LocationFree, konsolPlayStation Portable atau komputer.

Sony mengumumkan penamatan perkhidmatan fungsi "Net AV" yang menawarkan perkhidmatan penstriman kandungan media melalui sambungan Internet, di mana produk di bawah jenama LocationFree ini tidak lagi boleh digunakan selepas28 Februari2023[2].


Sejarah

[sunting |sunting sumber]

Seawal tahun2000, Sony memperkenalkan terma "Airboard", iaitu produk dan teknologi berkaitan dengan televisyen IT peribadi yang bakal dipasarkan untuk pasaran Jepun[4]. Salah satu ciri daripada produk "Airboard" ialah membolehkan pengguna mengakses maklumat dan kandungan media di mana-mana sahaja di dalamrumah menerusi kaedah "location free access"[4][5]. Produk seumpamaiPad ini dikatakan gagal mendapat tempat di pasaran oleh kerana harga jualan yang terlalu mahal[6], selain daripada kurang sokongan daripada pihak pengurusan Sony itu sendiri[6].

Disebabkan kegagalanAirboard, Sony bertindak dengan mengubah produk ini kepada LocationFree[7], yang menawarkan pengalaman menontontelevisyen dan kandungan media lain di mana-mana sahaja. Menurut Satoru Maeda, ketua bagi produk Sony LocationFree TV pada ketika itu[5], beliau mempunyai visi untuk mengubah cara pengguna berinteraksi dengan televisyen, di mana beliau merasakan bahawa pengalaman pengguna berinteraksi dengan televisyen masih lagi berada di takuk lama apabila mereka perlu berada di depan televisyen itu sendiri jika ingin menonton[8].

Produk LocationFree mula didedahkan kepada umum dalam acaraEkspo Electronik Kepenggunaan (CES 2004) diAmerika Syarikat[9]. Ianya terdiri daripada tiga peranti; unit asas, paparanskrin sesentuh bersaiz 12 inci danpaparan peribadi bersaiz 5.8 inci[9]. Unit asas yang dipertunjukkan ini menyokong sambungan rangkaian tanpa wayar berjenis802.11a/b/g[10]. Perbezaan ketara di antara produk LocationFree yang ditayangkan ini dengan produkAirboard ialah pengguna boleh membawa paparan peribadi dan menonton kandungan media atausaluran televisyen dari mana-mana sahaja di luar rumah, berbandingAirboard yang mengehadkan tontonan menggunakan rangkaian di dalam rumah[10].

Ujian percubaan perkhidmatan dan produk LocationFree telah dijalankan olehSony di Jepun pada12 Februari2005, di mana pengguna boleh melihat sendiri fungsi LocationFree[11]. Dalam ujian ini, Sony menggunakan unit LocationFree dengan nombor model "LF-X1" dan "LF-X5", dan melakukan penstriman secara langsung rakaman video dari lokasiAmerika Syarikat danOsaka, Jepun[11].Steve Wozniak, pengasas bersama syarikatApple juga dilaporkan pernah memiliki unit terawal LocationFree semasa beliau melakukan lawatan keJepun[12], mengatakan bahawa "ianya sangat mengagumkan apabila...berjalan-jalan sambil menonton televisyen".

Pada bulan Julai 2007, Sony melancarkan model pertama LocationFree selepas ianya diintegrasi bersama jenamaVAIO. Model VAIO LF-V30 merupakan unit asas LocationFree dan mula dipasarkan pada bulan September tahun yang sama dengan harga pengenalan $250[13].


Perkakasan

[sunting |sunting sumber]

Unit utama

[sunting |sunting sumber]

Unit utama atau stesen utama LocationFree adalah unit yang menyambungkan kepada beberapa pemain media bagi tujuan penstriman kandungan media yang dipasang pada alatan media tersebut[14]. Menerusi unit utama ini, kandungan media digital yang dimainkan boleh distrim secara langsung kepada klien yang menyokong ciri LocationFree seperti komputer atauPlayStation Portable yang dipasang dengan perisianLocationFree Player. Unit ini juga boleh disambung kepada jaringan yang menyediakan sambunganInternet bagi membolehkankandungan media digital distrim melalui unit utama LocationFree kepada klien dari luar rangkaian rumah, membolehkan pengguna menonton kandungan media dari mana-mana sahaja.

LF-PK1
Model LF-PK1 mula diperkenalkan kepada umum pada bulan Oktober 2005 untuk pasaran Jepun, pasaranAmerika Syarikat pada bulan Januari 2006[15] dan pasaranEropah pada bulan Mei 2006[14]. Terdapat modul jaringan tanpa wayar802.11b/g, di mana unit ini boleh dijadikan sebagaititik capaian (AP) apabila disambungkan kepada penghala rangkaian di rumah[16]. Model ini hanya boleh mendaftar sehingga empat klien berasingan, namun begitu tiap-tiap klien memerlukan lesen berasingan bagi mengaktifkan perisianLocationFree Player dan memaparkan kandungan yang distrim melalui unit ini[16].
Pada bulan Februari 2006, model LF-PK1 ini telah dianugerahkan penganugerahan utama NetKADEN anjuran Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun[15], yang mengiktiraf produk, industri ataukomoditi Jepun yang memberi kepentingan kepada ekonomi serantau serta kebaikan kepada pengguna[17].
LF-PK20
Model LF-PK20 menawarkan beberapa ciri tambahan selain penambahbaikan berbanding model terdahulu. Model ini menggunakan fungsipemampatan video berjenis MPEG4 (H.264)[18], yang menawarkan paparan video yang lebih berkualiti walaupun distrim melalui sambungan rangkaian yang perlahan[19]. Selain itu, model ini juga menyokong pengekodanMPEG-2 yang biasanya digunakan dalam DVD yang memaparkan paparan imej yang lebih baik apabila ditonton secara langsung menggunakan jaringan di rumah[18].
Model ini mula dipasarkan untuk pasaran diJepun bermula20 Oktober2006[19].
LF-B10 dan LF-B20
Model LF-B10 dipasarkan serentak bersama model LF-B20 dan produk terbaru di bawah jenama LocationFree iaituLocationFree TV Box (LF-BOX1)[20] bermula Oktober 2006. Perbezaan di antara kedua-dua model ini ialah model LF-B10 hanya menggunakan sambunganEthernet sahaja bagi menyambungkan unit ini kepada jaringan di rumah[21], manakala model LF-B20 memiliki sambungan tanpa wayar802.11a/b/g[22] yang membolehkan ianya disambungkan kepada penghala secara tanpa wayar selain terdapat sambungan Ethernet[22]. Model ini menggunakan fungsi pemampatan video berjenis MPEG4 (H.264), berbanding MPEG-2 yang digunakan pada model terdahulu[21].
LF-V30
Tidak banyak penambahbaikan yang ditambah dalam model ini berbanding model LF-B20. Ciri utama yang ditambah dalam model ini ialah penambahan komponenvideo berdefinisi tinggi[23]. Selain itu, model ini merupakan model pertama di bawah jenama LocationFree yang kini telah diintegrasikan bersama jenama VAIO[23].

Penerima

[sunting |sunting sumber]
LocationFree TV
Pada bulan Oktober 2004, Sony mula memasarkan unit penerimaLocationFree TV, iaitu panel televisyenLCD mudah alih yang memaparkan kandungan media yang distrim daripada unit asas LocationFree secara tanpa wayar atau menggunakan sambungan Ethernet[24]. Terdapat dua model yang ditawarkan iaitu model LF-X1 yang menawarkanpaparan skrin bersaiz 12.1 inci dan LF-X5 yang menawarkan paparan skrin bersaiz 7 inci[24][25]. Selain daripada memaparkan kandungan media dari unit asas,LocationFree TV juga boleh digunakan untuk melayarilaman web atau menyambungkan kad ingatanMemory Stick dan melihat kandungan media di dalamnya[26].
LocationFree TV Box
LocationFree TV Box dengan nombor model LF-BOX1 merupakan unit penerima yang berfungsi menerima kandungan yang distrim menerusi unit utama LocationFree[20]. LF-BOX1 ini disambung kepadatelevisyen melaluisambungan RCA dan menerima kandungan penstriman daripada unit asas melalui sambungan Ethernet[27]. Menurut Sony, produk ini dipasarkan kepada pengguna yang ingin melihat kandungan dari unit asas LocationFree namun tidak memiliki komputer yang dipasang dengan perisianLocationFree Player. Unit penerima ini mula dipasarkan serentak dengan unit asas model LF-B10 dan LF-B20 bagi pasaran Eropah bermula pada bulan Oktober 2006[27].


Perisian

[sunting |sunting sumber]

NetAV

[sunting |sunting sumber]

NetAV ialah sejenis fungsi yang membolehkan unit asas LocationFree yang disambung kepada rangkaian di rumah distrim melalui sambunganInternet dari mana-mana lokasi luar rumah. Dengan fungsi ini, pengguna hanya perlu menyambungkan peranti mereka kepada sambungan Internet dan mengakses kandungan media di rumah yang telah disambung kepada unit asas LocationFree[28]. Bagi mendapatkan paparan yang jelas, Sony menyatakan bahawa NetAV memerlukan sambunganjalur lebar dengan kelajuanmuat turun danmuat naik minimum sebanyak 300 kbps dan ianya tidak menyokong sambunganmodem analog[29]. Selain itu, NetAV menggunakan servis DNS dinamik iaitu nama domain pelayan akan dikemaskini setiap 5 minit jika pengguna memilihEasy Setup sewaktu konfigurasi awal bagi mengelakkan sambungan terputus jika berlaku perubahan pada konfigurasi alamat IP awam[1].

LocationFree Player

[sunting |sunting sumber]

LocationFree Player ialah sebuah perisian yang dibangunkanSony bagi memaparkan kandungan media digital yang distrim melalui unit asas LocationFree. Di peringkat awal produk LocationFree dipasarkan, pengguna perlu menggunakanLocationFree TV jika ingin menonton kandungan yang distrim dari unit asas. Sewaktu unit asas dengan model LF-PK1 dilancarkan sekitar tahun2005, kandungan media yang distrim dari unit asas kini boleh ditonton menerusi perisianLocationFree Player yang dipasang dalamkomputer.

Versi awal perisian ini hanya boleh dipasang dalam komputer dengansistem operasiWindows 2000 Professional dengan SP4 atauWindows XP Home atau Professional SP1 atau berikutnya. Pada bulan Oktober 2005, kemaskini sistem perisian untuk konsol mudah alihPlayStation Portable versi 2.50 dilepaskan, dengan penambahan aplikasiLocationFree Player[30] bagi membolehkan pemain menonton kandungan dari unit asas LocationFree secara tanpa wayar dalamrangkaian yang sama[30] atau menggunakan sambungan Internet jika ingin menonton di mana-mana sahaja[31].

Pada bulan Mac 2006, pembangunan perisianLocationFree Player untuk sistem operasiWindows Mobile dan telefon bimbit telah diberikan kepada syarikat ACCESS Co. Ltd. yang berpangkalan di Jepun[32]. Perisian yang dibangunkan dijangka digunakan untuk unit asas LocationFree dengan model LF-PK1[32]. Pada bulan April pula, syarikat Kaga Electronics yang berpangkalan diJepun menyatakan bahawa mereka sedang membangunkan perisianLocationFree Player untuk sistem operasiMac OS X oleh kerana mereka sudah mendapatkan lesen penggunaan teknologi LocationFree daripada Sony[33][34]. Perisian ini dijangka akan dilancarkan pada pertengahan bulan Mei 2005 bagi pasaran Jepun dan global[34].

Pada bulan Februari 2012, perisianLocationFree Player telah dibangunkan untuk sistem operasiAndroid secara tidak rasmi oleh orang perseorangan dengan nama penamgschwan dan ianya menyokong hampir kesemua model unit asas LocationFree[35]. Namun begitu beliau menyatakan bahawa beliau tidak akan menggunakan nama LocationFree pada perisian yang dibangunkannya atas sebab hak cipta dan memilih untuk menunggu kebenaran dari Sony sebelum melancarkan secara rasmi[35]. Tidak lama selepas itu, Sony telah memberi kebenaran dan beliau melancarkan perisian seumpamaLocationFree Player dengan nama ThereTV[36].


Rujukan

[sunting |sunting sumber]
  1. ^abc"European launch of Sony LocationFree™ TV makes remote TV viewing on PSP an exciting reality".GamesIndustry.biz. 9 Mei 2006.Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Januari 2023. Dicapai pada19 April 2024.
  2. ^ab"ロケーションフリー「Net AV機能」終了のお知らせ" (Siaran akhbar) (dalam bahasa Jepun).Sony. 29 November 2022.Diarkibkan daripada yang asal pada 25 April 2023. Dicapai pada19 April 2024.
  3. ^Falcone, John (3 Disember 2007)."Review: Sony LocationFree TV no match for Slingbox".CNN.Diarkibkan daripada yang asal pada 19 April 2024. Dicapai pada19 April 2024.
  4. ^ab"Commercialization of Personal IT Television "airboard"" (Siaran akhbar).Sony. 7 September 2000.Diarkibkan daripada yang asal pada 23 April 2024. Dicapai pada23 April 2024.
  5. ^abShim, Richard (2 Januari 2002)."Behind the refashioning of Sony".CNET.Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Ogos 2023. Dicapai pada23 April 2024.
  6. ^abYoshida, Junko (24 Mei 2012)."Failure to launch: Why Sony never got AirBoard off the ground". EDN.Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Ogos 2022. Dicapai pada23 April 2024.
  7. ^"Prestij dan keunggulan nyata melalaikan SonySiri laporan tiga bahagian: Pertama". Borneo Post. 25 Mei 2011.Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Jun 2021. Dicapai pada23 April 2024.
  8. ^Schiesel, Seth (2 Disember 2004)."Sony Also Tries to Give the TV a Life Outside the Living Room". The New York Times.Diarkibkan daripada yang asal pada 23 April 2024. Dicapai pada23 April 2024.
  9. ^abWiley, M. (8 Januari 2004)."CES 2004: Sony Does It In Style".IGN.Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Mac 2023. Dicapai pada23 April 2024.
  10. ^abSerizawa, Takanori (8 Januari 2004)."ソニーの隠し球は、家から飛び出す「Location Free」" (dalam bahasa Jepun). ITMedia News.Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Disember 2022. Dicapai pada23 April 2024.
  11. ^ab"ロケーションフリーテレビ体験イベントのご案内" (Siaran akhbar) (dalam bahasa Jepun).Sony.Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mac 2015. Dicapai pada19 April 2024.
  12. ^Colker, David (11 April 2004)."Sony Aims to Amaze With Its Wireless TV".Los Angeles Times.Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Jun 2021. Dicapai pada23 April 2024.
  13. ^Block, Ryan (18 Julai 2007)."Sony makes LocationFree Vaio, introduces Vaio LF-V30 Base Station".Engadget.Diarkibkan daripada yang asal pada 22 April 2024. Dicapai pada22 April 2024.
  14. ^abSmith, Tony (17 Oktober 2006)."Sony Ericsson to bring LocationFree TV to P990i".The Register.Diarkibkan daripada yang asal pada 20 April 2024. Dicapai pada20 April 2024.
  15. ^ab"LOCATIONFREE RECEIVES THE FIRST "NetKADEN Grand Prize" FROM MINISTRY OF ECONOMY, TRADE AND INDUSTRY" (Siaran akhbar).Sony. 3 Februari 2006.Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Jun 2022. Dicapai pada20 April 2024.
  16. ^ab"Sony LF-PK1 review". Tech Radar. 1 Ogos 2006.Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Disember 2022. Dicapai pada20 April 2024.
  17. ^" NetKADEN Grand Prix". Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun. Diarkibkan daripadayang asal pada 10 Januari 2007. Dicapai pada20 April 2024.
  18. ^ab"LF-PK20" (dalam bahasa Jepun).Sony.Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Jun 2023. Dicapai pada19 April 2024.
  19. ^ab"Sony Upgrades LocationFree Platform".CIO. 6 September 2006.Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Disember 2023. Dicapai pada19 April 2024.
  20. ^abFarivar, Cyrus (6 September 2006)."Sony announces LocationFree LF-B10, LF-B20 and LF-BOX1".Engadget.Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Ogos 2023. Dicapai pada21 April 2024.
  21. ^ab"Sony LF-B10 and LF-B20 LocationFree TV".TechCrunch. 6 September 2006.Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Januari 2016. Dicapai pada21 April 2024.
  22. ^abFalcone, John (5 September 2006)."Look out, Slingbox: Sony announces new LocationFree TV models".CNET.Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Ogos 2023. Dicapai pada21 April 2024.
  23. ^abFalcone, John (25 Oktober 2007)."Sony LF-V30 LocationFree TV review: Sony LF-V30 LocationFree TV".CNET.Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Disember 2023. Dicapai pada22 April 2024.
  24. ^abShim, Richard (26 Oktober 2004)."Sony's location-free TV makes local shows portable".ZDNet. Diarkibkan daripadayang asal pada 27 Mac 2005. Dicapai pada21 April 2024.
  25. ^Morgenstern, Steve."Sony LocationFree TV".ZDNet.Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Mac 2023. Dicapai pada21 April 2024.
  26. ^Johnson, Steve (24 Februari 2005)."Sony LocationFree TV Review".the gadgeteer.Diarkibkan daripada yang asal pada 26 September 2023. Dicapai pada21 April 2024.
  27. ^abMcCarthy, Caroline (5 September 2006)."Sony expands LocationFree lineup".ZDNet.Diarkibkan daripada yang asal pada 21 April 2024. Dicapai pada21 April 2024.
  28. ^Hanlon, Mike (11 Februari 2005)."Sony's LocationFree TV - watch live TV from anywhere via the internet".New Atlas.Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Oktober 2022. Dicapai pada22 April 2024.
  29. ^"How to set static IP address or domain name and port number for NetAV.".Sony. 29 Mac 2019.Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Jun 2021. Dicapai pada22 April 2024.
  30. ^abAdams, David (14 Oktober 2005)."PSP Firmware 2.50 Released".IGN.Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Mac 2021. Dicapai pada21 April 2024.
  31. ^Cohen, Peter (13 Oktober 2005)."Handhelds compared: video iPod vs. PSP".Macworld.Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Mac 2023. Dicapai pada21 April 2024.
  32. ^ab"Sony to license "Locationfree" software to ACCESS" (Siaran akhbar).Sony. 29 Mac 2006.Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Jun 2022. Dicapai pada21 April 2024.
  33. ^""LocationFree" software for Mac OS X® Sony to license software to Kaga Electronics" (Siaran akhbar).Sony. 25 April 2006.Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Jun 2022. Dicapai pada21 April 2024.
  34. ^ab"Mac Player for Sony's LocationFree Coming Soon".CIO. 25 April 2006.Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Mei 2023. Dicapai pada21 April 2024.
  35. ^abStacy, Ian (5 Februari 2012)."Unofficial LocationFree Player for Android Spotted in Action".XDA. Diarkibkan daripadayang asal pada 23 Januari 2014. Dicapai pada21 April 2024.
  36. ^Stacy, Ian (20 Februari 2012)."ThereTV (LocationFree Player Client for Android) Officially Released".XDA.Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Oktober 2022. Dicapai pada22 April 2024.


Pengasas
Perniagaan utama
Hiburan
Interaktif
Kewangan
Jenama aktif
Jenama terdahulu
Bukan keuntungan
Diambil daripada "https://ms.wikipedia.org/w/index.php?title=LocationFree&oldid=6177609"
Kategori:
Kategori tersembunyi:

[8]ページ先頭

©2009-2026 Movatter.jp