Imuda | |
---|---|
![]() Imuda pada 2016. | |
Kelahiran | A. Rahim bin Muda (1959-12-13)13 Disember 1959 (umur 65) |
Pekerjaan | Pelakon, pelawak, pengacara, penyanyi, kartunis |
Tahun aktif | 1980—kini |
Terkenal kerana | Sam, Budin (Pi Mai Pi Mai Tang Tu) |
Pasangan |
|
Anak-anak | 4 |
Ibu | Halijah binti Chik |
Bapa | Muda bin Nordin |
Yang BerbahagiaDato'A. Rahim Muda atau lebih dikenali sebagaiImuda (lahir 13 Disember 1959) merupakan seorang pelakon, pelawak, pengacara, penyanyi dan kartunis lelakiMalaysia.[1][2][3] Beliau memulakan kerjayanya sebagai pelukis diDewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama dengan rakan sekerjanya iaituSabri Yunus.
Beliau dilahirkan diBukit Mertajam,Pulau Pinang pada 13 Disember 1959, nama Imuda diperolehi daripada nama panggilan beliau, Im, dan bapanya, Muda. Imuda merupakan anak ke-6 daripada lapan orang adik-beradik hasil perkongsian hidup bapanya, Muda Nordin dengan ibunya, Halijah Chik.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Khir Johari dan kemudian menghabiskan persekolahannya sehingga Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam. Sejak kecil lagi, Imuda meminati semua bidang seni. Seawal empat tahun, beliau sudah mula terpukau melihat poster-poster wayang yang dilukis. Beliau selalu memujuk ibu bapanya menonton wayang, tetapi lebih banyak memberi perhatian kepada poster wayang daripada filem itu sendiri. Secara tidak langsung, poster-poster wayang tersebut menjadi sumber inspirasi untuk Imuda menjadi seorang pelukis. Cita-cita beliau hanya mahu menjadi seorang pelukis. Semasa masih kanak-kanak lagi, Imuda sudah memperlihatkan keupayaan untuk melukis. Ketika Darjah Enam, beliau sudah mula melukis strip kartun, sepertimana yang dilihatnya di dalam komik-komik di waktu itu. Peminatnya terdiri daripada kawan-kawan.
Dari usia muda lagi, Imuda sudah membuat keputusan untuk melukis. Selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun 1978, beliau bekerja di United Books Company, sebuah syarikat yang agak dikenali ketika itu di Pulau Pinang. Di sana Imuda bertindak sebagai pelukis ilustrasi untuk beberapa majalah kanak-kanak, antaranya Dunia Kanak-kanak. Beliau turut bertindak sebagai pembaca pruf di syarikat tersebut.
Imuda hanya bertahan selama 2 tahun di syarikat itu sebelum bekerja di sebuah kilang gula di Perai. Semasa bekerja sebagai pelukis ilustrasi, Imuda cuma dibayar RM110 sebulan, tetapi sebagai pekerja kilang, beliau dibayar RM15 sehari. Lebih mahal walaupun kerjanya agak teruk. Sewaktu majalah Gila-Gila mula meledak di pasaran pada tahun 1978, Imuda turut menyumbang karya-karya kartunnya ke majalah tersebut. Kartun beliau mula tersiar sejak keluaran kedua Gila-Gila. Dari situ beliau melebarkan lagi sayapnya ke penerbitan-penerbitan lain seperti majalah Gelihati dan Berita Minggu. Desakan jiwanya untuk menjadi pelukis membawa beliau memohon kerja di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur. Beliau kemudian diterima bekerja sebagai pembantu pelukis.
Semasa bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Imuda mula terlibat dalam bidang lakonan, bermula dengan teater. Tetapi sebelum mendapat peluang berlakon, beliau terpaksa mencuci lantai dan menolong mengangkat barang-barang di set lakonan.
Akhirnya beliau ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah pementasan berjudul Mayat. Bagi Imuda, itu bukanlah satu permulaan yang baik, apatah lagi beliau diminta berlakon sebagai mayat!Namun begitu, Mayat diterima baik oleh penonton dan Imuda serta kumpulan teaternya terus mengadakan persembahan hingga ke Sabah dan Sarawak.
Awal 1980an, Imuda membuat kemunculan pertamanya di slot Drama Minggu Ini melalui cerita Bahtera. Beliau dibayar RM50 untuk watak tambahan. Namun begitu, beliau rasa gembira, apatah lagi bila diminta untuk berlakon dalam beberapa drama selepas itu. Peranannya juga semakin besar dan beliau dibayar RM100.
Beliau kemudiannya dipelawa berlakon di dalam filemMekanik, filem pertama beliau, di mana beliau merasakan tidak percaya bila dibayar RM600 untuk penggambaran selama 4 hari – apatah lagi di dalam format warna! Drama Minggu Ini dihasilkan di dalam hitam putih.
Pada hujung 1983, Imuda telah ditawarkan watak sebagai Budin dalam pementasan Syy… yang ditulis oleh DrHatta Azad Khan. Ceritanya adalah mengenai penduduk sebuah setinggan yang memprotes pihak Dewan Bandaraya yang mahu membina loji najis di kampung mereka, Kampung Seri Wangi. Hafsham, pengarah filem Mekanik, ketika menyaksikan pementasan tersebut, beranggapan ia mampu menjadi drama sitcom yang menarik. Lalu beliau mengusulkan ideanya di samping mengekalkan pelakon-pelakon yang asal. Pada mulanya, ia mengisi slot Drama Swasta diRTM pada tahun 1985, sebelum berhijrah keTV3 dengan judul Kampung Seri Wangi, dan kemudiannyaPi Mai Pi Mai Tang Tu.Kalau sebelum ini Imuda hanya dikenali di kalangan penggemar-penggemar kartun sahaja, dengan sitcom tersebut beliau mula popular ke seluruh negara. Malah orang ramai lebih mengenalinya sebagai Budin sahaja daripada Imuda.
Tahun 1989, Hafsham menghasilkan sitcom 2 + 1. Imuda memegang watak sebagai Sam, seorang lelaki lembut. Turut bersama dalam sitcom tersebut ialahLouisa Chong,Susan Lankester danRaja Ema. Sitcom tersebut menerima kritikan yang agak hebat terutama mengenai watak Sam. Dan tidak hairanlah siri tersebut hanya bertahan selama 3 tahun sahaja, berbanding dengan Pi Mai Pi Mai Tang Tu selama 14 tahun.Imuda turut menerima kritikan mengenai watak lakonannya itu. Tetapi bagi beliau, ia hanyalah untuk hiburan sahaja. Orang ramai tidak perlu ambil serius dengan lakonan beliau.Dalam pada itu, Imuda terus menerima tawaran berlakon untuk filem, antaranyaBalik Kampung,Kembara Seniman Jalanan,Hati Bukan Kristal, Mat Som (diadaptasikan daripada karya Lat),Mat Gelap,Imigran dan Jutawan Fakir. Sehingga kini Imuda masih lagi aktif sebagai pelukis dan pelakon, di samping aktiviti-aktiviti seni yang lain.
Pi mai ialah gandingan Imuda, Sulaiman Yassin (Mat Over) danSathiya, yang menyertai pertandinganMaharaja Lawak Mega dari 30 Oktober 2011 hingga 30 Disember 2011 di Shah Alam, Selangor dan disiarkan secara langsung menerusi slotAstro Warna saluran 132. Mereka tersingkir di minggu kedua akhir iaitu di Stadium Tertutup Majlis Bandaran Johor Bahru. Tema persembahan mereka ialah tema adaptasi daripada filem klasik dan konsep bebas. Juri tetap MLM,Chef Wan, penyanyiSiti Nurhaliza dan jurulatihbola sepakZainal Abidin Hassan serta juri jemputan, penyanyiFerhad memberi markah 15.8 peratus.[4]
Imuda telah berkahwin sebanyak dua kali dan mempunyai empat anak daripada kedua-dua perkahwinan tersebut.[5] Bekas isterinya, Rosalinda Rosli meninggal dunia pada Disember 2008.[6] Beliau kemudian berkahwin dengan Zabarina Ali pada 2010.[7]
Pada Ogos 2012, beliau mengalami kerugian lebih RM7,000 selepas kediamannya dipecah masuk oleh perompak ketika beliau sekeluarga baru sahaja pulang dari bercuti di kampung sempena Hari Raya Aidilfitri.[8][9][10]
Tahun | Tajuk | Menampilkan |
---|---|---|
2013 | "Rilek Brader" | Art Fazil |
"Blues Nasi Kandar" | ||
2017 | "Rilek Raya" | Art Fazil |
2020 | "Jam!" | Art Fazil & Andy Flop Poppy |
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
1983 | Mekanik | Pembantu Mekanik II | Filem pertama |
1986 | Balik Kampung | Muda | |
Kembara Seniman Jalanan | Brader Joe | ||
1989 | Hero | Din | |
1990 | Mat Som | Mat Som | |
Driving School | Lelaki Lembut di Pondok Telefon | ||
Mat Gelap | Rahim / Mat Gelap | ||
Hati Bukan Kristal | Azmi | Pelakon undangan | |
1992 | Wanita Bertudung Hitam | Bong Ramli | |
Gelora Cinta | Sam | Filem usahasama Indonesia-Malaysia | |
Suci Dalam Debu | Badrul | ||
1993 | Imigran | Hisham | |
Kekasih Awal Dan Akhir | Rahim | ||
1996 | Super Star | ||
1998 | Kembara | ||
2002 | Mendam Berahi | Adam | |
2003 | Jutawan Fakir | Bos | |
2008 | Cinta U-Turn | Kondaktor KTM | |
2011 | Sumpahan Puaka | Sudin | |
2012 | Aji Noh Motor | Haji Rodhi | |
Budak Pailang | Tuan Rumah | ||
Shh...Dia Datang | Udin | ||
2013 | Bro, Nampak Motor Gua? | Encik Osman | Pelakon undangan |
2014 | Cara Mengundang Hantu | ||
2018 | Hantu Kak Limah | Penampilan khas | |
2020 | Manap Karaoke | Pak Mid | |
Butak | Abang Chot | ||
2021 | Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa | Dato Mahfuz (Ceo Mega Ah Holding) | |
2024 | 19 Puasa: Playboys Of Plestik Hitam | Abang Mi | |
TBA | Pi Mai Pi Mai Tang Tu The Movie | Budin | Dalam perancangan |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
1980 | Drama Minggu Ini: Bahtera | TV1 | Drama pertama, pelakon tambahan | |
1983–2004 | Pi Mai Pi Mai Tang Tu | Budin | TV3 | |
1989–1993 | 2+1 | Selamat | ||
2001 | 2+1.kom.my | |||
2007 | Salam Pantai Timur | Pelbagai | TV1 | Watak berulang |
2009 | Julia Juli | Memanda Negeri | TV3 | |
2009-2010 | Mama Murai | Kassim | Astro Warna | |
2019 | Setelah Cinta Itu Pergi | TV3 | Pak Ngah Zali | |
3S | Pak Din | TV1 | ||
Gerak Khas (Musim 19) | Pak Amin | TV2 | Episod: "Dendam Menular" | |
Ajak Oh Ijal | Mahmud | TV3 | ||
2020 | Jaman Tori | Peguamcara | Awesome TV | |
2021 | Kampong Pisang Bersiri-siri | Zali Zanzibar | Astro Citra | Episod: "Alam Pak Din" (Bahagian 3) |
Ganjil | Bapa Sally | Viu | ||
2022 | Bukan Pi Mai Pi Mai | Sudin | Astro Ria | |
The Pak Mat Clan | Pak Mat | TV3 | ||
Teguh | Abang Din | TV Okey |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2001 | Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys | Jefri Jambul | ntv7 | Telefilem pertama |
2002 | Aku Kaya | Tauke Restoran Nasi Kandar | Format VCD | |
Les Sekinchan | ||||
2003 | XPDC: Sakinah | Sam | ||
Neon | Peniaga Gerai Kopi Satu I | Penampilan khas | ||
2014 | Rombongan Cik Kiah ke Kelana Jaya | Encik Leman | Astro First Eksklusif | |
2018 | Kuala Kampung Lambat | Makrop | Astro Citra | |
2021 | Ismadi Belum Mati | |||
2023 | Dalang | Daud | Tonton |
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2002 | Rasa-Rasa Ikan | Pengacara | TV3 | |
Pendidikan Moral: Rasuah Dihina, Maruah Dibina | Pelakon | TV Pendidikan | ||
2012 | Betul ke Bohong? (Musim 1) | Artis jemputan | Astro Warna | Episod 4&7 |
2018 | Di Balik Tawa (Musim 1) | Dirinya sendiri |
Tahun | Tajuk | Kumpulan |
---|---|---|
2011 | Maharaja Lawak Mega 2011 | Pi Mai |
2012 | Maharaja Lawak Mega 2012 |